Thursday, June 11, 2009

ERTI KEHIDUPAN ...( sebuah catatan untuk FIRR.. )

Salam buat Firr...
FIRR...beberapa hari ini hati abah sering teringkatkan Firr. Firr dah semakin besar dan matang. Dari hari ke hari Firr semakin dewasa. Sudah tentulah ia berkembang bersama fikiran yang matang. Apabila di alam remaja ini, banyak perkara yang akan kita tempuhi. Ia tak akan berhenti setakat ini Firr. Kiranya Allah memberikan kita kelanjutan usia, banyak lagi perkara yang Firr perlu tempuhi.

Firr...Firr membesar di depan abah. Walaupun perkembangan itu tidak sedari lahirnya Firr ke dunia, ia sudah cukup untuk abah mengenali siapa Firr. Firr anak yang baik, walaupun sesekali Firr melakukan kesilapan atas kealpaan dan kejahilan Firr, abah tetap menerimanya sebagai cabaran untuk mendidik Firr dengan lebih baik.Firr...kehidupan ini penuh dengan ranjau, yang mana kita harus bersedia menempuhnya. Kadang-kadang abah rasa terpukul dengan apa yang Firr lakukan. Kadang-kadang abah terfikir juga, adakah selama ini abah telah mendidik Firr dengan cara yang salah.

Firr...ketahuilah apa jua tindakan abah terhadap Firr, abah melakukannya kerana inginkan yang terbaik untuk Firr. Firr belajarlah bersungguh-sungguh demi masa depan Firr. Pada tahun ini Firr akan mengambil PMR. Firr tak perlu buktikan kepada sesiapa yang Firr boleh berjaya, tetapi buatlah sesuatu kerana Allah. Kerana dengan keizinan-Nya sajalah kita mendapatkan sesuatu. Luqman al-Hakim pernah menasihati anak-anaknya : "Wahai anakku sayang ! Kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, maka apabila kamu dewasa kelak (hari tua) kamu akan memetik buahnya dan akan menikmatinya." Firr adalah harapan keluarga. Ubahlah nasib keluarga Firr kepada yang lebih baik. Dengan adanya ilmu insyallah Firr boleh berbuat sesuatu untuk menjadikannya lebih baik.

Firr...Abah tak pernah menghalang dengan sesiapapun Firr berkawan. Tetapi ianya mesti berlandaskan syariat islam. Jagalah percakapan, perbuatan dan pergaulan. Pasti ada batasan-batasan yang perlu kita jaga dalam pergaulan. Jangan sampai Firr terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak baik. Jauhkan diri daripada melakukan kemungkaran. Fikirkanlah keluarga dan orang-orang tersayang jika berbuat sesuatu. Jangan sekali-kali menconteng arang ke muka keluarga.

Firr...ketahuilah jika masih ada orang yang menegur perbuatan kita, ini bermakna masih ada orang yang sayang dengan kita.Jadikan teguran itu sebagai panduan untuk Firr terus melayari kehidupan ini. Harapan Abah Firr jadilah anak yang baik, taat kepada ajaran agama dan seterusnya berjaya dalam apa jua bidang yang Firr ceburi..

0 ulasan: