Friday, August 21, 2009

KEWAJIPAN BERPUASA

Puasa bulan Ramadan mula diwajibkan pada tahun ke-2 Hijrah. Ayat yang memerintah umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan ialah ayat 183 daripada surah al-Baqarah iaitu firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”.
Tatacata dan peraturan berpuasa juga diterangkan secara langsung di dalam ayat berikutnya (al-Baqarah:184). Bagi tidak membebankan umat Islam melaksanakan ibadat ini, Allah S.W.T. memberikan keizinan dan pelepasan kepada orang-orang tertentu sama ada untuk menggantikannya atau membayar fidyah :
Terjemahannya : “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka yang sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahui ”.
Dijelaskan lagi dalam ayat berikutnya ( al-Baqarah : 185 ) keistimewaan bulan Ramadan yang mana al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan juga golongan yang diizinkan untuk berbuka bagi memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya :
Terjemahannya : “ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. ( Dengan ketetapan yang demikian itu ) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa ( sebulan Ramadan ), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur ”.

0 ulasan: