Saturday, July 25, 2009

KKWPM DI UTUSAN MALAYSIA

Formasi kompang dikagumi

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my



SUSUNAN formasi pergerakan yang menarik daripada Kelab Kompang Warisan Putra Muda di Labis baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



SEGAMAT 24 Julai - Dengan gaya yang tidak ubah bagai pahlawan Melayu serta persembahan yang mengagumkan, Kelab Kompang Warisan Putra Muda sentiasa mencuri tumpuan dalam setiap majlis yang mereka sertai.

Pasukan yang ditubuhkan di Labis ini bukan sahaja mampu memberi pukulan kompang bertenaga sehingga menggegarkan majlis, mereka juga memberi sentuhan gerakan yang setanding dengan mana-mana pancaragam yang ada di negara ini.

Dengan penekanan yang begitu tinggi terhadap aspek disiplin, pasukan kompang itu berjaya mendapat penghargaan tertinggi apabila meraih johan bagi Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu.

Menurut jurulatih pasukan itu, Johari Marsan, pasukan kompang yang telah dibimbingnya sejak tahun 2000 itu memiliki seramai 50 ahli yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra.

"Persembahan kompang berformasi ini menuntut penyertaan aktif daripada para pesertanya kerana ia memerlukan pemainnya untuk bergerak dan memukul kompang pada masa yang sama.

"Sebab itu, dalam kumpulan seramai 30 orang, tiada seorang pun yang boleh suka-suka tidak hadir kerana ia akan menjejaskan persembahan yang dirancang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Belia Daerah Segamat memberitahu, hasil dari usaha tekad dan semangat bekerjasama yang sering diperkukuhkan, pasukannya itu telah berjaya meraih pelbagai kejayaan dalam pertandingan-pertandingan yang disertainya.

Menurutnya, biarpun dari tahun ke tahun keupayaan pasukannya itu semakin disegani di peringkat daerah, namun ahli-ahli pasukan tetap berusaha untuk meraih kejayaan bukan sahaja di peringkat negeri malah sehingga ke peringkat nasional.

Katanya, antara kejayaan yang diraih pada tahun ini adalah Johan Pertandingan Kompang Berformasi Karnival Seni Kebudayaan dan Sains Sosial Peringkat Negeri Johor serta Johan Pertandingan Kompang Selawat Festival Nasyid Negeri Johor.

"Kejayaan paling manis semestinya ketika merangkul johan bagi Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Pada tahun ini kami turut menempatkan diri ke peringkat akhir namun terpaksa berpuas hati di tempat keempat," ujarnya.

Katanya, sesi latihan pasukannya berjalan berterusan pada setiap minggu dengan latihan intensif diadakan setiap hari menjelang sesebuah pertandingan atau persembahan.

"Sebenarnya, penghargaan juga perlu diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Ayub Rahmat kerana beliau banyak memberi sokongan dan kelengkapan sehingga kami sampai ke peringkat ini," ujarnya.

Menurut Johari, di samping menyertai pelbagai pertandingan, pasukannya juga tidak menang tangan untuk memenuhi jemputan bagi memeriahkan majlis-majlis yang diadakan.

"Pernah dalam musim cuti sekolah yang lalu, kami membuat sembilan persembahan dalam tempoh dua hari dengan kesemuanya adalah majlis kahwin.

"Memang nampak seperti jadual yang padat, namun amat sukar sebenarnya untuk mengecewakan harapan tuan rumah yang mahu kami menyerikan majlis," katanya.

0 ulasan: