Sunday, August 30, 2009



MELAYU
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di bumi MERDEKA
Salam KEMERDEKAAN...
MERDEKA...MERDEKA...MERDEKA

Saturday, August 29, 2009

PERTANDINGAN LAMAN HIJAU KG. MELAYU RAYA..






Menjadi hakim Partandingan Laman Hijau di Kg. Melayu Raya satu pengalaman menarik bagi aku. Aku ditugaskan bersama-sama dengan Kak Nai dan Kak Jariah untuk menilai sebanyak 11 buah rumah. Habis rumah-rumah peserta aku redah...nama aje Pertandingan Laman Indah tapi aspek yang dinilai memerlukan aku pergi sehingga ke belakang rumah peserta. Terima kasih kepada Tuan Haji Daun kerana bagi aku macam-macam...siap amblkan aku rebung. First time aku tengok rebung diproses dari kat pokok buluh sampai le dihiris-hiris..Apapun tahniah kepada peserta yang menang..

KEMPEN TANDA HARGA BARANG...







Baru-baru ini aku mendapat jemputan untuk bersama-sama dengan Kementerian Hal Ehwal Pengguna Cawangan Segamat dalam Kempen Tanda Harga di Pasaraya Billion. Kempen tersebut dirasmikan oleh Tuan Haji Mohamad bin Yassin pengerusi JK Hal Ehwal Pengguna Cawangan Segamat. Aku berharap para pengguna lebih berhati-hati semasa membeli barang. Pastikan harga barang tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan kedai-kedai yang lain.

Friday, August 21, 2009

KELEBIHAN SOLAT TERAWIH

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar.

KEWAJIPAN BERPUASA

Puasa bulan Ramadan mula diwajibkan pada tahun ke-2 Hijrah. Ayat yang memerintah umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan ialah ayat 183 daripada surah al-Baqarah iaitu firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa ”.
Tatacata dan peraturan berpuasa juga diterangkan secara langsung di dalam ayat berikutnya (al-Baqarah:184). Bagi tidak membebankan umat Islam melaksanakan ibadat ini, Allah S.W.T. memberikan keizinan dan pelepasan kepada orang-orang tertentu sama ada untuk menggantikannya atau membayar fidyah :
Terjemahannya : “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka yang sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahui ”.
Dijelaskan lagi dalam ayat berikutnya ( al-Baqarah : 185 ) keistimewaan bulan Ramadan yang mana al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan juga golongan yang diizinkan untuk berbuka bagi memperlihatkan bahawa Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan umatnya :
Terjemahannya : “ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. ( Dengan ketetapan yang demikian itu ) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa ( sebulan Ramadan ), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur ”.

Wednesday, August 12, 2009

PERKHEMAHAN...








Pada petang itu aku sampai awal daripada yang dijanjikan. Walau begitu, dari jauh aku telah kelihatan beberapa orang pelajar telah menanti di tapak perkhemahan. Mungkin begitu teruja dengan aktiviti perkhemahan yang akan dibuat. Maklumlah dah 2 tahun perkhemahan unit uniform tak dibuat. Kesian betul dengan dia orang. Tapi apa boleh buat keadaan tak mengizinkan. Perkhemahan kali inipun aku kuatkan semangat, itupun setelah berkali-kali didesak oleh Kak Besah. Dalam masa seminggu aku siapkan kertas kerja, mesyuarat dan aku tak toleh ke belakang lagi. Aku tidak peduli dengan orang lain, dalam kepala aku, perkhemahan pada kali ini mesti direalisasikan.

Seperti yang dijangka, aku makan hati dengan kerjasama sebahagian rakan-rakan. Nasib baiklah ada sahabat-sahabat dan anak-anak kompang yang memahami. Terubat sedikit hati gersang aku.Apapun perkhemahan kali dapat dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih yang teramat sangat kepada semua yang telah memberi kerjasama....

Tuesday, August 11, 2009

OH... IBU



Oh Ibu...
Ku ungkap terima kasih buatmu
kerana engkau
lahirnya aku di bumi fana ini
kerana engkau
aku dapat melihat alam yang indah ini
dan kerana engkau
aku dapat menikmati segalanya di alam semesta ini

Oh Ibu...
ku ungkap terima kasih buatmu
kasih sayangmu tiada batasnya
didikanmu menjadikan aku sebegini
jagaanmu membuatkan aku insan di dunia ini

Oh Ibu...
ampunilah dosaku
andai aku telah menyakitimu
andai diri ini pernah mengguris hatimu
ku ungkap terima kasih padamu
kerana menerima kealpaan dan kejahilanku

Oh Ibu...
maafkanlah diriku
kerana aku tidak punya apa-apa
untuk ku bina istana buatmu
ku pohon doa buat mu
moga Syurga Firdausi milik mu..

Monday, August 10, 2009

GURU BISTARI

Guru bestari rajin mengajar,
Pelajar terdidik jadi terpelajar.
Guru bestari jujur dan ikhlas,
Pelajar belajar tidak malas.
Guru bestari bertindak bijaksana,
Pelajar diasuh dengan sempurna.
Guru bestari pandai cerdik,
Pelajar dibimbing mudah dididik.
Guru bestari ramah mesra,
Pelajar tidak huru-hara.
Guru bestari bertugas cemerlang,
Pelajar berwawasan hidup gemilang.
Guru bestari bijak mendidik,
Pelajar menjadi pintar cerdik.
Guru bestari mengawal marah,
Pelajar berdisiplin mudah diarah.
Guru bestari menunjuk teladan,
Pelajar mencontohi memang padan.
Guru bestari bertindak proaktif,
Pelajar dipandu cergas aktif.
Guru bestari bertindak wajar,
Pelajar memahami mudah diajar.
Guru bestari berusaha gigih,
Pelajar yakin anggun canggih.
Guru bestari sentiasa peka,
Pelajar rajin tidak leka.
Guru bestari baik hati,
Pelajar gembira sedia menanti.
Guru bestari berjati diri,
Pelajar bermotivasi dan berdikari.
Guru bestari beramal beriman,
Pelajar yakin bahagia aman.
Guru bestari senyum mesra,
Pelajar riang sihat sejahtera.
Guru bestari berbudi bahasa,
Pelajar taat senang selesa.
Guru bestari mudah didamping,
Pelajar dibantu diasuh dibimbing.
Guru bestari adil saksama,
Pelajar sentiasa bekerjasama.
Guru bestari insan berilmu,
Pelajar belajar tidaklah jemu.
Guru bestari rajin membaca,
Pelajar tidak tenggelam punca.
Guru bestari berwajah ceria,
Pelajar seronok suka ria.
Guru bestari berhati murni,
Aman bahagia hidup harmoni.
Guru bestari ramah berbicara,
Segala masalah boleh disuara.
Guru bestari sabar dan tenang,
Budi baiknya tetap dikenang.
Guru bestari umpama lebah,
Tekun, gigih, sabar dan tabah.
Guru bestari bertimbang rasa,
Tidak akan menyalahguna kuasa
Guru bestari ikut resmi padi,
Merendah diri menabur budi.
Guru bestari sanggup berkorban,
Amanah diberi bukanlah beban.
Guru bestari besifat penyayang,
Nama harum wajah terbayang.
Guru bestari kita hormati,
Ilmu diperoleh pas dirahmati.

Sunday, August 9, 2009

ZURIAT..


Anak merupakan zuriat pengganti ibu dan bapanya menyambung kehidupan di dunia ini. Keadaannya berterusan dan sambung menyambung sehingga dunia ini kiamat. Pasangan suami isteri yang mendapatkan ramai anak, beruntung besar untuk bekalan mereka pada akhirat kelak, seandainya anak-anak itu tergolong sebagai orang-orang yang soleh. Sebaliknya jika anak-anak itu tidak menjadi anak-anak yang soleh, pasangan itu akan kerugian besar. Bahkan kemungkinan ibu bapa itu akan dipertanggungjawabkan atau dipersalahkan di hadapan Allah s.w.t.
Alah s.w.t. menyuruh ibu bapa memberi pendidikan dan mengasuh anak-anak mereka hingga menjadi anak yang soleh. Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. ada menghuraikan, antara firman Alah yan bermaksud ;

" Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada ai neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu "
(Al-Tahrim :6)

Memandangkan peranan dan tanggungjawab ibu bapa begitu berat, maka ibu bapa mestilah dalam keadaan sentiasa bersedia mendidik anak-anak di samping memberikan pelajaran dan pendidikan agar menjadi anak yang soleh.

Tuesday, August 4, 2009

KEHIDUPAN DUNIA HANYA SEMENTARA

Dunia ini pinjam-pinjaman
Akhirat juga yang berkekalan
Jasa yang baik jadi sanjungan
Amal ibadat menjadi bekalan


Sejak akhir-akhir ini aku sentiasa resah dengan segala permasalahan yang belaku. Akhirnya aku terfikirkan bagaimana kalau aku dijemput pulang oleh Nya. Aku tahu kehidupan di dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara,sebelum kita menuju ke alam akhirat. Begitu juga segala kemewahan, kesenangan dan keseronokan hidup yang Allah s.w.t. kurniakan, adalah sebagai mainan hidup yang hanya sementara dan akan lenyap di suatu hari nanti.

Mafhum firman Allah s.w.t :
"Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal wajah Tuhanmu Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan".
Surah ar-Rahman : ayat 26 - 27

Ajal dan maut adalah ditentukan oleh Allah s.w.t. Aku tahu bahawa kematian akan datang pada bila-bila masa. Semakin hari kehidupan berlalu, semakin hampir kita dengan kematian. Sesungguhnya kematian itu tidak mengenal tua muda, kecil besar, orang sihat atau orang sakit. Tiada siapapun yang akan hidup lama.

Mafhum firman Allah s.w.t:

" Dan Allah yang mencipta kamu (dari tiada kepada ada), kemudian Ia menyempurnakan tempoh umur kamu. (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikan kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadi ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Kuasa."

Surah An Nahl : ayat 70

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan
Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman