Thursday, July 30, 2009

SIAPAKAH YANG BERSALAH..

Lama juga aku tidak menulis di laman ini. Namun pengalaman yang baru aku tempoh baru-baru ini amat menginsafkan. Justeru itu aku lakarkan di sini untuk berkongsi cerita. Baru-baru ini aku menyertai satu Kem Ibadah yang diadakan disebuah sekolah menengah. Kem tersebut dikhaskan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah akhlak seperti menghisap rokok, ponteng sekolah, menghidu gam, minum arak dan perilaku seks.

Sebagai kemkom aku diamanahkan untuk mengawal peserta kursus seramai 53 orang itu. Semua pesertanya adalah pelajar-pelajar melayu. Pertama kali berjumpa dengan peserta-peserta kursus hati aku menjadi sayu dan sedih kerana mengenangkan anak bangsa seagama aku menjadi sedemikian rupa. Aku menjadi insaf. Aku mula terfikir siapakah yang harus dipersalahkan. Tengok muka peserta-peserta kem itu, kalau tidak diselidik memang tak sangka mereka terlibat dengan pelbagai masalah.

Pembuka bicara aku dengan mereka aku cuba menerangkan bahawa sebagai makhluk Allah yang terbaik semua orang mempunyai potensi menjadi orang yang baik-baik dan cemerlang. Aku basuh cukup-cukup....selepas itu aku dan jawatankuasa program membuat pemeriksaan beg untuk merampas barang-barang 8yang tidak diperlukan dalam kem. Seperti biasa terdapat banyak rokok yang disimpan dalam beg. Aku dah jangka kerana semua budak lelaki yang menyertai kem ini merokok termasuk juga seorang pelajar perempuan. Selepas itu peserta lelaki dipotong pendek rambutnya.

Apa yang aku hendak berkongsi disini, adalah bagaimana permasalahan ini boleh berlaku. Adakah ibu bapa tidak tegas dalam mendidik anak-anak. Ataupun pihak sekolah dimenguatkuasa disiplin pelajar dengan sebaiknya. Ataupun dasar kerajaan yang ada membuatkan perkara ini berlaku...cuba fikir-fikirkan..

Saturday, July 25, 2009

KKWPM DI UTUSAN MALAYSIA

Formasi kompang dikagumi

Oleh KAMIL MASLIH
utusanjohor@utusan.com.my



SUSUNAN formasi pergerakan yang menarik daripada Kelab Kompang Warisan Putra Muda di Labis baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



SEGAMAT 24 Julai - Dengan gaya yang tidak ubah bagai pahlawan Melayu serta persembahan yang mengagumkan, Kelab Kompang Warisan Putra Muda sentiasa mencuri tumpuan dalam setiap majlis yang mereka sertai.

Pasukan yang ditubuhkan di Labis ini bukan sahaja mampu memberi pukulan kompang bertenaga sehingga menggegarkan majlis, mereka juga memberi sentuhan gerakan yang setanding dengan mana-mana pancaragam yang ada di negara ini.

Dengan penekanan yang begitu tinggi terhadap aspek disiplin, pasukan kompang itu berjaya mendapat penghargaan tertinggi apabila meraih johan bagi Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu.

Menurut jurulatih pasukan itu, Johari Marsan, pasukan kompang yang telah dibimbingnya sejak tahun 2000 itu memiliki seramai 50 ahli yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra.

"Persembahan kompang berformasi ini menuntut penyertaan aktif daripada para pesertanya kerana ia memerlukan pemainnya untuk bergerak dan memukul kompang pada masa yang sama.

"Sebab itu, dalam kumpulan seramai 30 orang, tiada seorang pun yang boleh suka-suka tidak hadir kerana ia akan menjejaskan persembahan yang dirancang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Belia Daerah Segamat memberitahu, hasil dari usaha tekad dan semangat bekerjasama yang sering diperkukuhkan, pasukannya itu telah berjaya meraih pelbagai kejayaan dalam pertandingan-pertandingan yang disertainya.

Menurutnya, biarpun dari tahun ke tahun keupayaan pasukannya itu semakin disegani di peringkat daerah, namun ahli-ahli pasukan tetap berusaha untuk meraih kejayaan bukan sahaja di peringkat negeri malah sehingga ke peringkat nasional.

Katanya, antara kejayaan yang diraih pada tahun ini adalah Johan Pertandingan Kompang Berformasi Karnival Seni Kebudayaan dan Sains Sosial Peringkat Negeri Johor serta Johan Pertandingan Kompang Selawat Festival Nasyid Negeri Johor.

"Kejayaan paling manis semestinya ketika merangkul johan bagi Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat Kebangsaan pada tahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Pada tahun ini kami turut menempatkan diri ke peringkat akhir namun terpaksa berpuas hati di tempat keempat," ujarnya.

Katanya, sesi latihan pasukannya berjalan berterusan pada setiap minggu dengan latihan intensif diadakan setiap hari menjelang sesebuah pertandingan atau persembahan.

"Sebenarnya, penghargaan juga perlu diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Ayub Rahmat kerana beliau banyak memberi sokongan dan kelengkapan sehingga kami sampai ke peringkat ini," ujarnya.

Menurut Johari, di samping menyertai pelbagai pertandingan, pasukannya juga tidak menang tangan untuk memenuhi jemputan bagi memeriahkan majlis-majlis yang diadakan.

"Pernah dalam musim cuti sekolah yang lalu, kami membuat sembilan persembahan dalam tempoh dua hari dengan kesemuanya adalah majlis kahwin.

"Memang nampak seperti jadual yang padat, namun amat sukar sebenarnya untuk mengecewakan harapan tuan rumah yang mahu kami menyerikan majlis," katanya.

Tuesday, July 21, 2009

ISRAK MIKRAJ(Sekadar Nukilan Bersama)

Katakan (kepada mereka), ‘Kamu lihatlah apa yang terdapat di langit dan di bumi’..”(Surah Yunus:101). Dari 2 butir pasir di bumi hingga apa sahaja termasuk planet saling menarik antara satu sama lain dengan nilai tetap yang sama di mana-mana alam ini,

Pada hari Jumaat 4.7.2008 (1 Rejab) yang lalu, kita memasuki bulan Rejab yang didalamnya berlaku peristiwa Israk Mikraj yang bersejarah. Peristiwa tersebut bukan sahaja menunjukkan kekuasaan Allah swt di atas sekelian makhluqNya dan benarnya kenabian Muhammad saw, bahkan ianya juga membuka ufuk pemikiran dan cita-cita manusia sejagat dari hanya sekadar terhad kepada muka bumi ini semata-mata kepada cakerawala ciptaan Allah swt yang amat luas dan jauh, siap untuk diamati untuk lebih kita mengenali Tuhan Pencipta Agung, siap untuk diterokai agar manusia memperlengkap dan meninggikan kualiti ilmu pengetahuan demi memenuhi cita-cita tersebut.

Setelah kewafatan Khadijah ra, pendokong moral dan material perjuangan Baginda saw dan kewafatan Abu Talib, pelindung Baginda saw dari ancaman fisikal oleh kafir Quraisy pada Tahun Kesedihan, Dakwah Islam berada diposisi paling tenat disegi saikologi Nabi saw dan para Sahabat ra sendiri, maupun disegi tiadanya kemasukan baru ke dalam agama Islam dari kalangan penduduk Mekah. Dengan azam tidak menyerah kepada keadaan, Baginda saw mencuba nasib, mencari peluang baru untuk Dakwah ini di Taif, 80 km dari Mekah, namun harapan dan sangkaan Baginda saw meleset. Di Taif, Dakwah tidak diterima, Pendakwah dihina dengan dibaling batu oleh penduduknya. Pintu Dakwah ditahun ini hampir tertutup. Namun Allah swt melalui Surah Huud, mengarahkan Nabi saw terus beristiqamah menjalankan amal Dakwah ini meredah fasa-fasa gelap yang sedang menyelubunginya, tanpa isteri yang mendorong dan tanpa bapa saudara yang melindung. “Shayyabatni Huud” (Surah Huud telah mengubankan rambutku !!).


Allah swt tidak membiarkan Rasul Akhir Zaman berpanjangan dalam kemuraman seperti itu. Dakwah ini harus dipacu hingga berjaya bukan sahaja di Mekah, tetapi ke seluruh dunia, merangkumi sekelian jin dan manusia. Pada malam 27 Rejab ~620M, Jibril mengejutkan Rasulullah saw dari lamunan malam dan mengisyaratkan kepada Baginda saw bahawa kenderaan Buraq telah siap di luar sana untuk membawanya ke Masjidil Aqsa di Palestin, naik meredah 7 petala langit, ke Sidradul Muntaha melalui Baitul Makmur, memenuhi undangan Allah swt. Di Masjidil Aqsa Baginda bersolat mengimami kesemua para rasul, melihat bandar Baitul Maqdis, memilih susu dan menolak arak. Di langit, Baginda bertemu sebahagian para rasul, diperlihatkan gelagat penghuni-penghuni Syurga dan Neraka serta tanda-tanda kebesaran Allah swt yang lain. Di Sidratul Muntaha, Baginda diwahyukan Allah swt apa yang hendak diwahyukan olehNya, termasuk kewajipan Solat, ibadah yang paling utama.

Sekembalinya Nabi saw ke Mekah dari langit, kekuatan Baginda saw untuk berdakwah lebih kental. Segelintir orang Islam murtad kerana tidak dapat menerima hakikat boleh berlakunya peristiwa Muhammad saw pergi ke Palestin dan langit serta kembali semula dalam malam yang sama. Para Sahabat ra yang lain bertambah keyakinan dan kekaguman mereka kepada Nabi tercinta. Bagi Nabi saw pula, melihat sendiri kesudahan manusia di Syurga dan Neraka sudah cukup memberi motovasi penuh untuk menyelamatkan mereka didunia lagi, sebelum mereka menempuh alam Pengadilan dan Pembalasan, belum lagi berpeluang menerima wahyu langsung dari Allah swt di Sidratul Muntaha. Tiga tahun selepas itu, keimanan baru, lebih tinggi dan teruji inilah yang menjadi asas kepada Hijrah dan penegakkan Negara Islam di Madinah.

Dari sinopsis ringkas peristiwa Israk Mikraj, dapat disimpulkan sebahagian pengajaran berguna untuk umat selepasnya dan kita seperti berikut :

1. Kehebatan dokongan isteri, kerukunan rumahtangga adalah salah satu asas kejayaan
dalam diri Pendakwah dan Dakwah itu sendiri.
2. Perlindungan seperti yang diberi oleh sesiapa contohnya Abu Talib, biar pun dia
bukan seorang Islam, adalah penting dalam memastikan Islam berkembang tanpa
gangguan terutamanya di fasa awalnya.
3. Kepentingan Masjidil Aqsa dan Palestin di dalam perjuangan Uslam dan umat.
4. Dengan Nabi saw menjadi imam semua para Rasul yang lain di Masjidil Aqsa, hari
ini dan selepas ini, umat Islam mestilah menjadi imam (pemimpin dan pembimbing)
kepada umat-umat yang lain, dan bukan sebaliknya seperti yang berlaku hari ini.
Umat Islam mesti bekerja ke arah itu.
5. Solat adalah ibadah terpenting dalam Islam. Di Hari Kiamat, tidak dinilai amalan-
amalan lain jika solatnya dinilai sebagai gagal.
6. Iman pendokong-pendokong perjuangan Islam, termasuk para Sahabat ra akan terus
menerus melalui proses penapisan, untuk membeza dan mengasingkan permata dari
kaca.
7. Negara Islam tertegak bila ada jemaah manusia yang bersedia memikul tanggungjawab
tersebut dengan keimanan yang telah teruji seperti para Sahabat ra.
Umat Islam dituntut melihat cakerawala dan kehebatan penciptaannya, bukan terhad
atau terkongkong kepada apa yang ada di bumi sahaja.


Marilah kita sama-sama merai dan memperingati peristiwa bersejarah dan besar ini, dengan mengatur atau menghadiri ceramah mengenainya. Jauh lebih itu ialah mencedok pengajaran-pengajaran darinya untuk kehidupan berkeluarga bersama anak isteri dan perjuangan bersama-sama teman-teman yang beriman. Sekian