Wednesday, June 24, 2009

TRAGEDI KOMPANG FORMASI 2009


Dah beberapa hari aku tidak jengah blog nie. Agak sibuk...aku pergi ke Klang Selangor mambawa kotinjen Kompang Negeri Johor. Pada tahun ini, pasukan johor agak kurang bernasib baik kerana tidak mendapat sebarang tempat. Walaubagaimanapun aku amat berbangga dengan anak-anak kompang Negeri Johor kerana mereka telah menunjukkan permainan yang begitu baik sekali.

Walaupun aku redha dengan apa yang telah ditakdirkan, di sini aku ingin bercerita sedikit pengalaman semasa pertandingan tersebut. Buat pengetahuan semua, pertandingan tersebut telah dimenangi oleh Negeri Selangor bagi kedua-dua kategori iaitu Rendah dan Menengah. Kemenangan Negeri Selangor telah menjadi buah mulut yang kurang menyenangkan. Bukan sahaja kena booo..tapi belaku juga pergaduahan semasa di hotel.Itulah yang aku katakan tragedi...

Tragedi bermula apabila keputusan pengadil tidak seperti yang dijangkakan. Bukan sahaja perserta-peserta pertandingan, guru-guru pengiring tetapi ketua-ketua kotinjen di kalangan pegawai-pegawai jabatan turut tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut. Di mana-mana (di dewan makan, di lif dll) semua orang memperkatakan keputusan pengadil. Aku pun pelik, bagaimana dalam pertandingan yang memakan masa lebih kurang 9 jam, melibatkan 32 pasukan pengadilnya cuma 3 orang sahaja. Kemudian pengadil ini telah memilih pasukan yang pada pendapat aku tidak menerapkan dan mengangkat nilai-nilai budaya pada pertandingan ini. Bila kita menyebut nama kompang sahaja, kita seharusnya tahu bahawa ia adalah sejenis alat muzik tradisional yang mana harus ada di dalamnya (semasa bermain) nilai-nilai tradisi dan juga harus ada elemen kesopanan dan kesantunan.Tidak dinafikan kreativiti perlu ada untuk menarik minat golongan muda untuk bermain kompang ini tetapi biarlah kita meyemai minat mereka dengan nilai-nilai yang baik.

Kekadang aku juga tak faham dengan pihak penganjuran (Kementerian)...Apakah konsep sebenar yang dimahukan. Contohnya pada tahun 2007 dan 2008 pihak pengadil telah memilih pasukan yang berjaya menunjukkan persembahan yang membawa irama-irama tradisional dan asli kompang. Tapi pada tahun 2009 pasukan-pasukan tersebut langsung tidak mendapat tempat, malahan para pengadil telah memilih pasukan yang membawa irama atau ciri-ciri kebaratan seperti shuffle, hip hop dan sebagainya. Aku mengharapkan pihak pengadil dapat buat laporan dan serahkan kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri-negeri, agar keputusan yang telah dibuat itu tidak diragui..Bagi aku 5 kelompok teratas bagi Sekolah Rendah ialah Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Labuan. Manakala bagi sekolah Menengah Perak, Johor, Serawak dan Melaka.

Apapun, aku nak ucap tahniah kepada semua kotinjen, yang telah menunjukkan semangat persahabatan yang tinggi dalam pertandingan tersebut. Kalah dan menang adat pertandingan. Diharapkan pada tahun hadapan syarat-syarat pertandingan dapat diperincikan lagi supaya ianya lebih jelas dan menjadi panduan kepada pasukan-pasukan yang menyertai pertandingan tersebut.

Saturday, June 20, 2009

CABARAN HARI BAPA...

Hari ini tanggal 21 Jun 2009, sibuk orang memperkatakan hari bapa. Bagi aku hari-hari adalah hari bapa. Mungkin dik kerana semua benda nak kena ada hari khasnya maka bapa pun ada le juga harinya. Ya lah! dulu kita biasa mendengar hari guru, hari pekerja, hari ibu dan pelbagai hari lagi, sekurang-kurangnya kaum lelaki yang telah menjadi bapa tak terkilan.

Sempena hari bapa pada tahun ini, aku punya pelbagai warna cerita. Pertamanya, pada tahun ini, pertama kalinya aku betul-betul menghayati hari bapa. Aku berazam untuk menjadi bapa yang baik, bapa yang paling bererti untuk seorang istri dan anak-anak. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayahNya kepada aku.Malam tadi aku telah memberikan sesuatu kepada anak-anakku, termasuklah anak angkat aku. Aku mengharapkan pemberian sempena hari bapa itu di manfaatkan dan difahami maksudnya.

Sempena hari bapa ini juga aku menghadapi masalah dengan seseorang yang aku sayang. Aku sungguh terpukul dengan perkara ini. Ianya menjadikan aku insaf tentang perjalanan hidup aku selama ini. Aku bersyukur kepada Allah yang telah memberikan pengalaman ini. Seminggu juga aku memikirkan hikmah disebalik apa yang berlaku. Akhirnya aku mendapat jawapan dan sempena hari bapa ini aku bangkit dengan penuh azam untuk memperbaiki segala kesilapan.

Hari ini aku akan membawa pasukan Kompang Warisan Putra Muda ke Pertandingan Kompang Formasi Peringkat Kebangsaan. Aku dan anak-anak kompang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk pertandingan ini. Tahun lepas pasukan aku juara dan naib juara. Jadi tahun ini aku cuba untuk mengekalkan prestasi itu.Aku mengharapkan anak-anak kompang tidak melakukan kesilapan semasa bermain nanti.

Akhirnya sempena hari bapa ini, tiada lain yang aku inginkan kecuali anak-anakku menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Anak-anak yang berjaya pada masa depan dan berguna serta berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Thursday, June 11, 2009

ERTI KEHIDUPAN ...( sebuah catatan untuk FIRR.. )

Salam buat Firr...
FIRR...beberapa hari ini hati abah sering teringkatkan Firr. Firr dah semakin besar dan matang. Dari hari ke hari Firr semakin dewasa. Sudah tentulah ia berkembang bersama fikiran yang matang. Apabila di alam remaja ini, banyak perkara yang akan kita tempuhi. Ia tak akan berhenti setakat ini Firr. Kiranya Allah memberikan kita kelanjutan usia, banyak lagi perkara yang Firr perlu tempuhi.

Firr...Firr membesar di depan abah. Walaupun perkembangan itu tidak sedari lahirnya Firr ke dunia, ia sudah cukup untuk abah mengenali siapa Firr. Firr anak yang baik, walaupun sesekali Firr melakukan kesilapan atas kealpaan dan kejahilan Firr, abah tetap menerimanya sebagai cabaran untuk mendidik Firr dengan lebih baik.Firr...kehidupan ini penuh dengan ranjau, yang mana kita harus bersedia menempuhnya. Kadang-kadang abah rasa terpukul dengan apa yang Firr lakukan. Kadang-kadang abah terfikir juga, adakah selama ini abah telah mendidik Firr dengan cara yang salah.

Firr...ketahuilah apa jua tindakan abah terhadap Firr, abah melakukannya kerana inginkan yang terbaik untuk Firr. Firr belajarlah bersungguh-sungguh demi masa depan Firr. Pada tahun ini Firr akan mengambil PMR. Firr tak perlu buktikan kepada sesiapa yang Firr boleh berjaya, tetapi buatlah sesuatu kerana Allah. Kerana dengan keizinan-Nya sajalah kita mendapatkan sesuatu. Luqman al-Hakim pernah menasihati anak-anaknya : "Wahai anakku sayang ! Kalau sewaktu kecil engkau rajin belajar dengan tekun menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, maka apabila kamu dewasa kelak (hari tua) kamu akan memetik buahnya dan akan menikmatinya." Firr adalah harapan keluarga. Ubahlah nasib keluarga Firr kepada yang lebih baik. Dengan adanya ilmu insyallah Firr boleh berbuat sesuatu untuk menjadikannya lebih baik.

Firr...Abah tak pernah menghalang dengan sesiapapun Firr berkawan. Tetapi ianya mesti berlandaskan syariat islam. Jagalah percakapan, perbuatan dan pergaulan. Pasti ada batasan-batasan yang perlu kita jaga dalam pergaulan. Jangan sampai Firr terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak baik. Jauhkan diri daripada melakukan kemungkaran. Fikirkanlah keluarga dan orang-orang tersayang jika berbuat sesuatu. Jangan sekali-kali menconteng arang ke muka keluarga.

Firr...ketahuilah jika masih ada orang yang menegur perbuatan kita, ini bermakna masih ada orang yang sayang dengan kita.Jadikan teguran itu sebagai panduan untuk Firr terus melayari kehidupan ini. Harapan Abah Firr jadilah anak yang baik, taat kepada ajaran agama dan seterusnya berjaya dalam apa jua bidang yang Firr ceburi..

Sunday, June 7, 2009

KELAB KOMPANG WARISAN PUTRA MUDA

Kelab Kompang Warisan Putra Muda adalah salah satu kelab yang diwujudkan di Dun Kemelah, Parlimen Sekijang sejak tahun 2000. Kelab ini bergerak aktif dengan keahlian seramai 50 orang. Bergerak dalam salah satu bidang seni , kelab ini mementingkan unsur-unsur displin, ketekunan, ketelitian, kreativiti, inovasi serta kemahiran-kemahiran khusus. Unsur-unsur ini amat penting dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap bagi meningkatkan amalan berkerjasama, berpakat, tolong-menolong, percaya mempercayai antara satu sama lain, bersikap toleran dan sifat sayang menyanyangi serta hormat menghormati. Aktiviti seumpama ini akan dapat melahirkan generasi yang berketrampilan, berdisplin, bersefahaman, serta memperkukuhkan kualiti diri pelajar serta sahsiah mereka dan akhirnya akan melahirkan generasi yang seimbang dari segi emosi, rohani dan intelek sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Dengan berslogankan “SENI BERZAMAN MUZIK BERWAWASAN” di antara aktiviti dan kejayaan yang telah diraih oleh Kelab Kompang Warisan Putra Muda ini ialah


KEJAYAAN 2000 - 2008

Tahun 2000 - Johan Pertandingan Kompang Berirama Sekolah Rendah Peringkat
Daerah Segamat Anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian
Labis.

Tahun 2004 - Johan Pertandingan Kompang Berformasi Sekolah Rendah
Peringkat Daerah Segamat Sempena Karnival Seni 2004
Peringkat Daerah Segamat.

- Tempat Ke Tiga Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat
Negeri Johor Sempena Karnival Seni 2004 Peringkat Negeri
Johor.

Tahun 2005 - Johan Pertandingan kompang Berformasi Peringkat Daerah
Segamat Sempena Karnival Seni 2005 Peringkat Daerah Segamat.

- Tempat Ke Tiga Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat
Negeri Johor Sempena Karnival Seni 2005 Peringkat Negeri
Johor.

Tahun 2006 - Johan Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat Daerah
Segamat Sempena Karnival Seni 2006 Peringkat Daerah Segamat.

- Johan Pertandingan kompang Berformasi Peringkat Negeri Johor
Sempena Karnival 2006 Seni Peringkat Negeri Johor.

- Tempat Ke Tiga Pertandingan Kompang Berformadi Peringkat
Negeri Johor Anjuran RFM dan JPNJ.

- Tempat Ke Tiga Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat
Kebangsaan 2006.

Tahun 2007 - Johan Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat Daerah
Segamat Sempena Karnival Seni 2007 Peringkat Daerah Segamat.

- Johan Pertandingan kompang Berformasi Peringkat Negeri Johor
Sempena Karnival 2007 Seni Peringkat Negeri Johor.

- Tempat Ke Empat Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat
Kebangsaan.

Tahun 2008 - Johan Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat Daerah
Segamat Sempena Karnival Seni Kebudayaan dan Sains Sosial
2008 Peringkat Daerah Segamat.

- Johan Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Daerah Segamat
Sempena Festival Nasyid, Kompang Selawat 2008 Peringkat
Daerah Segamat.

- Johan Pertandingan Kompang Berformasi Peringkat Negeri
Johor Sempena Karnival Seni Kebudayaan dan Sains Sosial 2008
Peringkat Negeri Johor.

- Johan Pertandingan Kompang Selawat Peringkat Negeri Johor
Sempena Fstival Nasyid, Kompang Selawat 2008 Peringkat
Negeri Johor.

- Johan Pertandingan Kompang Berformasi peringkat Kebangsaan
2008.


Kelab Kompang Warisan Putra Muda ini juga sering membuat persembahan di majlis-majlis rasmi dan juga majlis perkahwinan. Untuk tempahan hubungi 019-7276105.

Friday, June 5, 2009

SALAM PERKENALAN

Alhamdulillahi Rabbilalamin,

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Mu yang telah mencipta diri kami dari segumpal darah. Engkau Tuhan Yang Maha Pemurah, yang memiliki ilmu pengetahuan. Engkau wahai Tuhan yang mengajar kami sesuatu yang tidak diketahui dengan perantaraan membaca serta menulis. Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha mengetahui lagi Maha bijaksana.


Subhanualah!


Maha suci Engkau wahai Tuhan yang telah melanjutkan usia kami menjadi insan yang berilmu, beriman dan berbakti. Sesungguhnya zaman yang ku lalui ini banyak pancaroba. Apa lagi dalam menghadapi kehidupan di zaman pembangunan dan kemajuan. Kehidupan dunia global menyebabkan banyak perubahan da pergolakan yang hebat dan mencabar. Perubahan dan pergolakan yang mencabar itu hanya dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan ilmu da kemahiran yang kita miliki. Justeru itu ia menuntut supaya kita mengamalkan budaya ilmu untuk menghadapi hari-hari seterusnya.


Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang! Berikan pertunjuk dan Hidayah Mu di hati ini. Pencarilah nur ilmu pengetahuan Mu dalam sanubari kami, tanamkanlah kesedaran dan keinsafan ke jiwa ini betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan ini. Sesungguhnya tanpa anugarah 'Nur' ilmu pengetahuan dari Mu, nescaya hiduplah diri ini dalam kegelapan. Hidup ini sentiasa dalam kejahilan dan kepapaan. Diri ini tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk dan yang halal dan yang haram. Alangkah zalimnya diri ini ketika itu. Akibat kejahilan dalam agama, hidup ini bergelumang dengandosa dan kemungkaraan. Bagaimanakah diri ini dapat menjadi insan yang baik dan sentiasa mengharapkan keredhan Mu di samping merealisasikan kemakmuran dan kesejahteraan di bumi Mu ya Allah!